Tuesday, October 19, 2010

Dosa Semalam 2

BAB 2

Terasa letih dengan kerja-kerja yang bertimbun dan ingin sekali aku pulang awal hari ini tetapi memandangkan Dato’ masih berada di dalam bilik mesyuarat segala impian ku terbantut. Nasib baiklah Dato’menyuruh Khatijah mengambil minit mesyuarat kalau tidak entah pukul berapa aku kena menunggu. Sudah menjadi kelaziman Dato’ jika sehingga pukul enam setengah beliau masih tidak keluar dari bilik mesyuarat lagi aku di benarkan pulang kerana beliau faham yang aku terpaksa mengejar bas. Bukan tidak pernah Dato’mempelawa untuk menghantar ku pulang tetapi aku menolak dengan baik. Aku tidak mahu abah dan mak menjadi umpatan jiran tetangga apatah lagi mak long yang tinggal berdekatan dengan rumah kami. Mak long yang merupakan kakak kepada abah suka mencari silap kami adik-beradik. Kalau bercakap macam dia tidak mempunyai anak dara. Sering kali aku disindirnya tetapi ku pekakkan telinga. Kalau aku menjawab nanti nama abah dan mak juga di sebutnya tak pandai menjaga anak.

“Ting!” terkejut aku bila loceng berbunyi menandakan bas yang aku naiki ini akan berhenti diperhentian rumah ku. Nasib baik ada orang mahu turun diperhentian yang sama kalau tidak terlajaklah aku lagi. Itulah asyik mengelamun saja diri ini. Aku mengatur langkah perlahan-lahan sambil memerhati keadaan sekeliling.Beg ditangan ku kepit bawah ketiak. Bekal yang telah kosong ku masukkan ke dalam beg plastik hijau muda. Aku suka dengan permandangan di taman perumahan ini. Walaupun rumah kampung tidak dapat dilihat sini lagi tetapi semangat kemasyarakatan tetap tebal dijiwa penduduk yang majoritinya kebanyakannya orang Melayu. Cuma bila melewati satu kumpulan budak kampung yang suka melepak di simpang masuk ke lorong rumah ku membuat langkah menjadi lemah. Aku sering diganggu dengan gelagat dan siulan nakal mereka.

“Hai kak long baru balik ke?” aku tidak menghiraukan sapaan itu kerana memang sudah lali dengan suara nakal salah seorang daripada mereka. Tak pernah serik mereka ini. Dah banyak kali aku mencebik muka tetapi masih tidak diendahkan. Tak ada kerja lain agaknya.

“Hendak abang temankan?” tambah seorang lagi. Aku memandang sekilas dengan rasa yang meluat. Hati tidak usah ditanya. Bengkak semacam. Tiba-tiba langkah ku dihalang oleh seorang lelaki berbaju kuning cair yang mula-mula mengusik ku tadi.

“Kenapa awak sombong sangat dengan saya?” aku memandang tajam wajah yang menghalang langkah ku tanpa bersuara. Rasa hendak ku tumbuk mukanya tetapi aku tahu setakat mana tenaga ku. Jika aku melawan apa-apa saja boleh terjadi. Sorotan mata ku yang tajam di tambah rasa yang berbuku membuat lelaki tadi berundur perlahan-lahan.

“Saya akan dapatkan awak suatu hari nanti. Itu janji saya.” berani sungguh lelaki itu berkata demikian di depan rakan-rakanya dan lantas di sambut tepukan gemuruh. Aku sempat menjeling dan segera menyambung langkah ku. Celaka punya lelaki, itu bolehlah di buatnya. Cuba kalau suruh azan di masjid entah boleh atau tidak. Langkah ku yang laju tadi menjadi perlahan bila aku ternampak dua orang budak perempuan yang sedang berbual mesra dengan dua remaja lelaki yang sedang bertenggek di atas motosikalnya. Nak kena budak-budak ni. Hati yang dah suruh dengan rasa geram tadi kembali terbakar bila melihat gelak ketawa mereka.

“Kak long! Ada bawa apa-apa untuk kami?” Tanya Harun yang sedang leka bermain guli bersama Hamdan di halaman rumah.

“Sorrylah dik, kak long nak cepat tadi takut tertinggal bas.” Terang ku sambil membuka kasut.

“Alah kak long ni teruklah. Tak nak kawanlah.” Rajuk Hamdan dan mimik mukanya sudah bertukar pula.

“Malam ni along belanja. Kita pergi pasar malam ek.” Janji ku. Memang aku sudah berangan-angan untuk mengajak mak dan adik-adik ku untuk membeli barangan dapur. Aku hendak menolong abah setakat yang aku mampu.

“Yahoooo!!...”jerit Hamdan dan Harun gembira. Aku hanya tersenggih suka.

“Pergi mandi. Mak mana?” tanyaku bila melihat kelibat mak tiada didepan mata. Selalunya mak cukup suka duduk dipangkin kayu dihalaman rumah sambil menunggu kepulangan aku atau pun abab.

“Mak ada kat dalam.” Laju Harun menjawab sambil mengutip guli-guli yang berterabur. Hamdan membantu memasukkan kedalam unjang yang sudah berwarna kusam.

“Asalamualaikum mak, Hanim dah balik. Mak! Mak!” aku segera masuk ke dalam rumah dan terus menuju ke dapur mencari mak. Kasut di tangan masih ku jinjing.

“Walaikumsalam, kenapa ni Hanim kelam kabut saja. Kasut tu nak dibawa kemana?” mak yang baru selesai mandi menyapa ku hairan.

”Alamak! Terlupa pula.” Aku segera menyimpan kasut di rak kasut yang telah dibuatkan abah dibelakang pintu.

“Mana angah dan alang mak?” aku segera bertanya walaupun aku tahu dimana mereka.

“Entah! tadi katanya hendak ke kedai, tak balik lagi agaknya” jawab mak sambil berlalu masuk ke dalam bilik untuk memakai baju. Ku perhatikan meja kopi di ruang tamu yang dipenuhi dengan majalah-majalah fesyen. Ini tak lain kerja si alang. Adik aku yang satu ini suka sangat mengumpul majalah tetapi tidak tahu menyimpannya setelah dibaca. Nasib baik majalah itu diperolehi dari simpanan duit belanjanya. Kalau masih hendak meminta dari abah dan mak tahulah aku hendak mengajarnya.

“Kau orang berdua ni dari mana?” sergah ku bila melihat angah dan alang yang baru melangkah ke dalam rumah. Wajah angah berubah pucat bila melihat aku sudah berdiri ditengah rumah. Terkebil-kebill dia memandang ku manakala angah hanya menjeling
tajam.

“Pergi ke kedailah.” alang menjawab endah tak endah. Entah kenapa perhubungan ku dengan adik ku yang seorang ini sering ada masaalah. Nurul Halisa ini sering mengundang kesabaran ku.

“Pergi kedai ke atau melayan jantan?” ku keluarkan rasa terbuku di hati sejak melihat gelagat mereka tadi. Jangan ingat aku mahu mendiam diri atas tingkah mereka yang ku rasa sudah melampau sebagai anak gadis.

“Nurul Hanimmm…apa Hanim cakap tadi” mak keluar bila mendengar bahasa ku yang agak kasar. Dipandang wajah anak-anaknya satu persatu.

“Makkk!, masa Hanim balik tadi. Hanim ternampak angah dan alang ni seronok sangat berbual dengan dua budak lelaki di simpang hujung masuk rumah kita. Hari dah nak senja tapi masih bersidai di jalan sana. Dah tak nampak rumah agaknya. Nasib baik radio karat tak nampak, kalau tidak nama mak dan abah juga yang di jajany. Cukup-cukuplah apa yang dikatanya selama ini.” aku terangkan pada mak agar mak tidak menyalah anggap akan teguran pada adik-adik ku. Bukan niat ku untuk mengadu itu ini tetapi cara mereka tadi memang tidak sedap mata memandang. Apatah lagi kita duduk dalam masyarakat mengenaili sesame sendiri. Lain lah kalau duduk dibandar-bandar besar. Nak buat apa pun orang sekeliling tak endah. Mati keras dalam rumah pun tiada siapa ambil perduli.

“Betul angah! betul alang! Betul apa yang kakak kamu cakapkan ni?” mak memandang angah yang hanya tunduk memandang lantai. Memang begitulah dia, Nurul Hanis seorang gadis yang akan diam membisu kalau dia bersalah tetapi yang lagi seorang ini Nurul Halisa akan membangkang segala apa yang aku cakapkan.

“Alahhh kami jumpa kawan saja. Takkan itu pun tak boleh.” sengaja alang mengundang rasa marah ku.

“Cuba kau ulang sekali lagi, aku sepak mulut kau nanti baru kau tahu tinggi rendahnya langit ni.” aku sudah tidak boleh mengawal kemarahan ku. Dengan sikap kurang ajar alang membuat darah membuak-buak naik. Sebagai anak sulung memang menjadi tugas ku menegur apa yang perlu dan memikul tanggungjawab abah sementara abah tiada di rumah. Lagi pun mereka berdua masih di alam persekolahan lagi. Tidak perlu bersidai dimerata tempat untuk meraih perhatian lelaki.

“Sudahlah Hanim, tak baik bergaduh adik beradik. Lagi pun Hanim penatkan.” lembut mak memujukku. Rasa marah terbang bila mendengar suara mak merayu.

“Hanis dan Halisa pergi masuk mandi. Panggil Harun dan Hamdan sekali. Sediakan tempat, kita mengaji bersama. Hanim tolong mak ajar Harun dan Hamdan.” arahan mak yang tegas membuat budak berdua itu segera mengangkat kaki. Memang sudah menjadi kelaziman mak untuk mengajar kami adik beradik mengaji dan menghafal Al-Quran.

“Macam bagus sangat.” sempat aku menangkap bicara alang yang menyindir ku.

“Hanim! pergi masuk bilik Hanim.” Suara mak mematikan pergerakkan ku yang mahu mengekori alang untuk membuat perhitungan.

“Dan satu lagi tak baik panggil mak long tu radio karat.” aku diam membisu bila di tegur begitu. Itu memang salah ku tetapi memang mulut mak long bagaikan DJ radio yang tidak pernah berhenti untuk menjaja cerita orang lain.

Tuesday, August 24, 2010

Dosa Semalam Bab 1




BAB 1
“Kringg…kringgg…” bunyi jam loceng di hujung kepala ku membuat aku terjaga.

“Kenapalah jam ni berbunyi masa aku sedang enak di buai mimpi.” bisik ku sendiri sambil mata masih terpejam.

“1…2…3” aku membilang masa dan kedengaran satu suara.

“Hanim bangun nak, dah subuh ni!” lantang suara itu disebalik pintu dan kedengarana ketukan.

“Hanim dah bangun mak, sekejap lagi Hanim keluar.” aku menolak malas selimut yang menutupi tubuh ku. Ku capai tuala mandi di ampaian dan keluar menuju ke bilik mandi yang hanya bersebelahan dengan bilik ku. Rumah batu sekerat kayu inilah yang melindungi aku dan keluarga. Setelah mengenakan kain basahan aku mencapai gayung berwarna biru dan mula menyirus kaki .

“Oiii!!!....Sejuknya!!” luah ku lemah tetapi kesejukan yang mengigit tubuh ini harus ku lontar jauh-jauh demi membolehkan aku menunaikan kewajipan pada yang Esa.

“Mak masak apa ni, harumnya bau.” Hidung ku terangkat-angkat di sisi mak. Sengaja aku mengusik mak dengan gelagat ku sendiri. Mak memang rapat dengan aku yang merupakan anak sulung dalam keluarga.

“Bau aje, bukan nak menolong.” Keluh mak sengaja. Aku hanya tersenyum dan memeluk mesra bahu mak.

“Dah kejut adik-adik?” Tanya mak sambil menumis cili di dalam kuali.

“Dah, cuma alang tu liat sikit nak bangun mak. Itu pun Hanim jerit ditelinganya baru bergerak sikit.” Adu ku pada mak. Memang di kalangan adik-beradik alang agak degil dan suka memberontak berbanding angah, Harun dan Hamdan.

“Dah dinamakan adik, jadi Hanim haruslah menangani masalah adik-adik dengan lebih matang. Jangan buat begitu, tak baik. Kalau kita tunjukkan tauladan tak elok dengan adik-adik nanti mereka akan terikut-ikut dengan perangai kita.” Nasihat mak lembut masuk ke telinga ku. Begitulah mak yang penuh kelembutan dalam mendidik dan menjaga rumahtanggannya.

“Hanim minta maaf mak, lain kali Hanim tak buat lagi.” Akur ku bersama sebuah janji. Ku kuccup pipi mak penuh syahdu. Mak tersenyum.

“Hanim kerja hari ni?” mak yang sedang mengacau bihun di dalam kuali bersuara.

“Kerjalah mak, lagi pun hari ini Dato’Hassan ada meeting. Kalau Hanim tak ada tentu dia kelam kabut.” luah ku sambil mencapai tuala kecil yang digunakan untuk mengelap meja. Mak yang sibuk dari tadi hanya memandang ku sekilas.

”Capaikan mak botol kicap tu Nim.” Arah mak. Aku segera mengambil botol kicap yang terletak diatas para dan meyerahkan kepada mak. Ku teliti kerja mak tanpa menyampuk sebarang kata. Kalau mak memasak memang tiada siapa yang boleh menandinginya. Hasil tangannya bagaikan ada jampi serapah kerana walau aku sudah kenyang balik dari kerja tetapi bila melihat saja masakan mak secara tiba-tiba perut ku menjadi lapar. Itulah air tangan mak akan ku ingat kemana saja ku pergi.

“Baguslah Hanim kerja elok-elok, nasib baiklah Dato’ Hassan nak ambil Hanim berkerja sebagai pembantunya. Kalau diikut dari sijil Hanim, mak rasanya tak layak Hanim kerja dengan Dato’Hassan tu.” aku tahu mak dan abah banyak berkorban untuk ku

Walaupun aku layak untuk menyambung pelajaran nasib tidak menyebelahi ku. Abah tidak mampu untuk mengeluarkan wang bagi membiayai pelajaran ku di menara gading. Sijil SPM berpangkat satu masih kemas dalam simpanan ku. Memang aku akui dengan sijil tersebut aku boleh memohon biasiswa tetapi dalam masa menanti pengeluaran biasiswa tersebut dimana aku nak cekau duit untuk menampung perbelanjaan ku disana. Perkerjaan abah sebagai pengawal keselamatan dan menanggung lima orang anak sudah terbeban ku rasa. Aku kagum dengan semangat abah tidak pernah mengeluh dalam membina sebuah kehidupan yang agak teratur untuk keluarganya. Hanya aku saja yang meminta agar abah faham dengan niat ku untuk membantunya walaupun ditentang pada mulanya tetapi akhinya abah dan mak faham akan niat suci ku ini.

”Hai! Pagi-pagi dah termenung. Fikirkan apa?” apa yang ada difikiran ku terbang serta merta bila mak memecah kedinginan pagi.

“Tak adalah mak, Hanim cuma terfikir tak tahu berapa lama Dato’Hassan tu perlukan hikmat Hanim, projek di Manjung ni pun dah hampir siap.” Lain yang ku fikir, lain pula ku jawab. Aku tahu Dato’Hassan mengambil aku berkerja kerana dia rasa terhutang budi dengan ku yang pernah menolongnya ketika keretanya rosak semasa mula-mula dia sampai di kampong ini. Aku yang agak mudah belas kasihan tanpa segan silu mencari Si Kamil makenik kampung yang juga sepupu ku untuk melihatkan kalau-kalau dia boleh membaiki kereta Dato’Hassan. Alhamdullilah kerana pertolongan yang sedikit itulah Dato’Hassan mengenangnya hingga kini.

“Kerja sajalah Nim, kalau sampai masa Dato’Hassan tidak perlukan Hanim lagi barulah fikirkan cara.” usul mak memang sudah lama ku fikirkan.

“Hanim nak pergi bersiaplah mak kalau lambat kena tinggal bas pula.” aku memohon diri setelah menolong mak mengatur pinggan di atas meja.

“Hah! Pergilah. Cepat sikit boleh sarapan dengan abah sekali,” aku hanya menganguk dan berlalu menuju ke bilik ku.

Kerja sebagai pembantu kepada Dato’Hassan mengajar aku tentang sebuah perjuangan. Dato’Hassan tidak kedekut menghulurkan ilmu kepada ku. Sering kali beliau mengingatkan ku bahawa walau setinggi mananya ilmu yang kita tuntut kalau tidak tahu mengunakan akal fikiran tidak berguna kita belajar hingga ke hujung dunia. Walau sijil berkepok dalam laci, kalau akal pendek, sijil itu umpama kertas sahaja. Aku menjadikan kata-katanya sebagai satu azimat untuk diri ku. Bagi ku mempunyai majikan seperti Dato’ Hassan adalah satu rahmat yang tidak ternilai. Beliau tidak cerewet dan aku boleh berbincang kalau ada sebarang masalah tentang kerja. Pesannya juga jangan malu untuk bertanya daripada kita berlagak pandai. Sikap ramahnya dengan kakitangan dicawangan ini memang tiada siapa boleh nafikan. Kami sentiasa kagum dengan peribadinya yang tidak memilih kaya atau miskin untuk mendampinginya. Satu tugas yang sering membuat aku memandang tinggi kepadanya adalah setiap hujung bulan beliau akan memastikan yang beliau akan ke Kuala Lumpur untuk bertemu dengan keluarganya. Kadang-kala Datin Kalsom akan datang ke daerah Manjung ini untuk berada disisinya. Walaupun anak-anaknya yang seramai empat orang sudah berkerjaya tetapi mereka akan menelefon Dato’ Hassan untuk bertanya khabar berita. Anak-anaknya tidak sombong dan memilih dalam berkawan hasil dari didikan Dato’Hassan dan isterinya. Itulah contoh orang yang kaya dalam serba serbi. Hanya aku saja Nurul Hanim Hamidi yang masih merangkak-rangkak dalam membentuk kehidupan dan hala tuju ku.

“Asalamualaikum Hanim, pagi-pagi dah termenung ingatkan siapa? cik abang ke?”
terperanjat bila disergah oleh Dato’ Hassan. Aku yang termangu sambil memegang pen hanya tersenyum memandang Dato’. Suka sangat menyakat aku.

“Walaikumsalam Dato’, maafkan Hanim tak perasan Dato’ masuk tadi.” Aku cuba menutup kegugupan diri walaupun pipi sudah merona merah bila Dato’Hassan masih tersenyum
memandang ku.

“Itulah asyik ingat abang saja mana nak perasan saya masuk”usik Dato’ Hassan lagi.

“Mana ada Dato’ ni, ke situ pula, siapalah nakkan saya ni Dato’. Harta tiada rupa apatah lagi.” Usikan ku walaupun hakikatnya aku harus tahu setakat mana diri ku patut berada.

“Hanim…Hanimmm…siapa kata Hanim tak cantik. Kalau isteri saya benarkan saya buka cawangan baru, dah lama Hanim saya pinang.” Usikan ku dibalas oleh Dato’.

“Amboi!! Sedapnya bila dengar cakap Dato’. Kalau Datin ada mesti dah kena tarik telinga.” Gurau ku dan ku tahu kata-kata tersebut hanya untuk menceriakan pagi-pagi kami.

“Ehhh..salah cakap pulak. Yang sebenarnya saya nak cakap kalau anak saya belum kahwin lagi mesti Hanim saya jadikan awak menantu.” Usikan Dato’ masih belum tamat lagi dan rasanya Dato’ hari ini sudah lari dari landasan gurauan kami.

“Dato’ ni dah mulalah tu.” aku mula terasa segan bila Dato’ mula menyentuh gurauan yang sering kami luahkan pada setiap kali kami berbicara .Apa yang dia pandang pada diri yang kerdil ini tidak aku ketahui tetapi Dato’sering memuji ku yang masih menjaga adat ketimuran dan sopan santun dalam pergaulan seharian. Katanya di zaman yang membangun ini sukar untuk berjumpa dengan anak gadis yang serupa dengan ku. Hahaha…tingginya lif Dato’ tekan untuk menaikkan saham ku.

“Okeylah saya kalah.” Dato’akhirnya menutup hal ini dengan rasa bersalah.

“Baiklah apa yang perlu saya buat hari ini.” bicara Dato’ sambil menolak pintu biliknya. Aku segera bangun mengikut langkah Dato’. Beg bimbitnya diletakkan disebelah meja dan mula duduk dikerusi empuknya.

”Ok…apa agenda saya hari in?” Dato terus memandang ku.

“Dato’ada temujanji dengan Encik Rajakrisnan dari syarikat Raj & Son Sdn Bhd ditapak projek jam sebelah pagi, jam satu petang ada janji makan tengahari di Hotel Singgahsana di Ipoh dengan Encik Lim yang loyar buruk tu dan petang ada mesyuarat dengan semua pegawai di sini berkenaan laporan bulanan mereka.”aku menulis dan mengangkat wajah lantas terpandang wajah Dato’ Hassan yang sedang tersenyum.

“Kenapa Dato’tersenyum ni, sakit ke?”pelik dengan telatah Dato’ hari ini. Pergaulan kami yang agak rapat menjadikan aku suka mengusik Dato’ tidak kira masa. Tetapi aku sentiasa menjaga gurauan ku agar tidak melanggari benteng yang ada antara aku dan Dato’ Hassan.

“Apa yang awak anti sangat dengan Encik Lim tu Hanim?” Dato’masih tersenyum memandang ku.

“Bukan saya anti tetapi Encik Lim tu gatal nak mampus.” cepat aku menutup mulut ku bila terasa melampau dengan kata-kata ku.

“Awak jangan Hanim, awak marah-marah orang suatu hari nanti awak akan jatuh cinta dengan orang tu baru awak tahu” usik Dato’lagi.

”Idaklah teman mahu yoppp…tak sanggup teman.” Entah kenapa loghat negeri terkeluar sendiri dari mulut ku. Pecah ketawa Dato’ bila melihat cara ku bercakap. Memang ku akui yang mulut aku ini kadang kala tidak boleh hendak dikontrol.

“Dato’ ni kan malaslah Hanim nak layan, baik Hanim keluar dulu.” Malu dengan kealpaan diri aku segera meninggalkan Dato’ yang masih ketawa melihat gelagat ku sambil mengeleng kepala.

Kerja yang menimbun sambil mengatur setiap janji temu Dato’Hassan kadang kala aku terlupa waktu makan. Aku sering menyuruh Khatijah membungkuskan aku roti atau kuih untuk aku mengalas perut sebelum sampai ke rumah. Bukan tidak pernah kawan-kawan di pejabat ini menegur aku yang jarang untuk menyertai mereka keluar makan. Bagi ku di kawasan Manjung apa yang hendak di pilih sangat pasal makanan kerana semuanya sama, lainlah kalau di Ipoh. Jadi lebih baik aku makan masakan mak di rumah. Selamat duit dan selamat tenaga. Telefon di sisi berbunyi mematikan lamuanan ku.

“Selamat tengahari, Bersatu Holdings Berhad disini.” walaupun malas untuk aku mengangkat telefon masa makan tengahari ini ku gagah juga. Takut-takut ada panggilan yang mustahak. Apatah lagi telefon ku sudah diprogramkan untuk menerima panggilan ketika waktu rehat.

“Boleh I bercakap dengan Dato’ Hassan?” suara di hujung talian bergema sebaik saja aku habis menjawab.

“Maaf encik Dato’Hassan tiada, boleh saya tahu siapa di talian?” aku bertanya sambil membuka buku catitan untuk menulis nama dan dari mana panggilan tersebut.

“Kalau begitu sambungkan kepada setiausahannya.” arahnya tanpa menberi aku jawapan.

“Sayalah setiausahannya.” jawab ku selamba. Hati ku mula dihambat rasa geram dengan cara lagaknya memberi arahan.

“Ohh…You setiausahanya. I ingatkan you ni penyambut tetamu.” dari nadanya aku tahu dia menyindirku. Apa! dia ingat di Manjung ni orang bodoh saja yang tinggal. Please lah.

“Boleh saya tahu nama encik?” aku cuba mengawal suara ku walau dada ini rasa bergelodak. Ada yang kena hamput dengan aku ni.

“You siapa nama?” aku pula ditanyanya. Rasa-rasa akulah manusia di hujung talian sana ada masalah pendengaran agaknya.

“Tak kan setiausaha pada seorang Dato’ tiada nama pula.” mungkin dia ini sengaja hendak menyalakan api kemarahanku.

“Tenang Hanim..tenang…banyakkan bersabar…tarik nafas perlahan-lahan.” hati mengajar ku.

“Saya Nurul Hanim dan boleh saya tahu siapa nama encik?” aku masih cuba mengawal keadaan. Nada suara ku juga cuba dilembutkan. Aku tidak mahu merosakkan nama Dato’ dimata luar sana. Sedangkan Encik Lim yang gatal boleh ku handle apatah lelaki yang tidak bernama dihujung talian ini.

“Nurul Hanim…erhmmm..sedap nama tu sesedap suara di hujung sana.” aku mendengus keras bila mendengar bicara lembut suara di hujung talian itu. Ulat bulu dah mula mengembangkan bulu-bulunya. Gatalnya…jaga kau.

“Kalau encik tidak mahu memberi tahu nama encik lebih baik saya letakkan telefon ni.” akhirnya aku tidak dapat mengawal kemarahan ku.

”I tak tahulah bila mendengar suara you, nama I sendiri pun I terlupa.” Aduh naik berombak dada ku mendengar jawapan yang kurang bernas ini.

“Minta maaf Encik yang terlupa nama ni. Di dompet encik ada kad pengenalan tak? Kalau ada encik cuba eja nama encik perlahan-lahan. Kemudian encik tulis didahi encik. Mesti encik terlupa nama ni akan ingat sampai bila-bila nama encik.” Ajar ku geram.

“You marah?”geramnya bila orang di sana masih cuba mencurah minyak pada ku.

”Taklah, Saya suka sangat-sangat.” bibir ku yang nipis ku ketip untuk menahan lahar gunung berapi yang mula hendak mengalirkan haba.

“Kalau you marah, nanti bila I sampai sana I belanja you makan okey.” kalaulah orang ini ada di depan ku mungkin kepalanya sudah lama aku luku. Tak pun akan ku lastik dengan lastik si Hamdan.

”Tak perlulah enck. Simpan saja duit encik tu. Nanti nak buat Kad pengenalan baru kena caj sebab nak bayar duit pencarian identiti encik. Luah ku geram.

“Alahhh..janganlah begitu wahai Nurul Hanim, I kalau dah berjanji I akan kotakan. Ohh iya…. you cakap dengan Dato”Hassan, Ariff Aris telefon dan suruh Dato’ call I semula iya Hanim sayangggg.” terdengar suara itu tertawa sebelum talian diputuskan.
Tergaman aku seketika dengan luahan bersahaja lelaki itu.

“Ariff Aris”bisik ku perlahan dan nama itu seakan sebati dengan lidah ku.