Tuesday, October 19, 2010

Dosa Semalam 2

BAB 2

Terasa letih dengan kerja-kerja yang bertimbun dan ingin sekali aku pulang awal hari ini tetapi memandangkan Dato’ masih berada di dalam bilik mesyuarat segala impian ku terbantut. Nasib baiklah Dato’menyuruh Khatijah mengambil minit mesyuarat kalau tidak entah pukul berapa aku kena menunggu. Sudah menjadi kelaziman Dato’ jika sehingga pukul enam setengah beliau masih tidak keluar dari bilik mesyuarat lagi aku di benarkan pulang kerana beliau faham yang aku terpaksa mengejar bas. Bukan tidak pernah Dato’mempelawa untuk menghantar ku pulang tetapi aku menolak dengan baik. Aku tidak mahu abah dan mak menjadi umpatan jiran tetangga apatah lagi mak long yang tinggal berdekatan dengan rumah kami. Mak long yang merupakan kakak kepada abah suka mencari silap kami adik-beradik. Kalau bercakap macam dia tidak mempunyai anak dara. Sering kali aku disindirnya tetapi ku pekakkan telinga. Kalau aku menjawab nanti nama abah dan mak juga di sebutnya tak pandai menjaga anak.

“Ting!” terkejut aku bila loceng berbunyi menandakan bas yang aku naiki ini akan berhenti diperhentian rumah ku. Nasib baik ada orang mahu turun diperhentian yang sama kalau tidak terlajaklah aku lagi. Itulah asyik mengelamun saja diri ini. Aku mengatur langkah perlahan-lahan sambil memerhati keadaan sekeliling.Beg ditangan ku kepit bawah ketiak. Bekal yang telah kosong ku masukkan ke dalam beg plastik hijau muda. Aku suka dengan permandangan di taman perumahan ini. Walaupun rumah kampung tidak dapat dilihat sini lagi tetapi semangat kemasyarakatan tetap tebal dijiwa penduduk yang majoritinya kebanyakannya orang Melayu. Cuma bila melewati satu kumpulan budak kampung yang suka melepak di simpang masuk ke lorong rumah ku membuat langkah menjadi lemah. Aku sering diganggu dengan gelagat dan siulan nakal mereka.

“Hai kak long baru balik ke?” aku tidak menghiraukan sapaan itu kerana memang sudah lali dengan suara nakal salah seorang daripada mereka. Tak pernah serik mereka ini. Dah banyak kali aku mencebik muka tetapi masih tidak diendahkan. Tak ada kerja lain agaknya.

“Hendak abang temankan?” tambah seorang lagi. Aku memandang sekilas dengan rasa yang meluat. Hati tidak usah ditanya. Bengkak semacam. Tiba-tiba langkah ku dihalang oleh seorang lelaki berbaju kuning cair yang mula-mula mengusik ku tadi.

“Kenapa awak sombong sangat dengan saya?” aku memandang tajam wajah yang menghalang langkah ku tanpa bersuara. Rasa hendak ku tumbuk mukanya tetapi aku tahu setakat mana tenaga ku. Jika aku melawan apa-apa saja boleh terjadi. Sorotan mata ku yang tajam di tambah rasa yang berbuku membuat lelaki tadi berundur perlahan-lahan.

“Saya akan dapatkan awak suatu hari nanti. Itu janji saya.” berani sungguh lelaki itu berkata demikian di depan rakan-rakanya dan lantas di sambut tepukan gemuruh. Aku sempat menjeling dan segera menyambung langkah ku. Celaka punya lelaki, itu bolehlah di buatnya. Cuba kalau suruh azan di masjid entah boleh atau tidak. Langkah ku yang laju tadi menjadi perlahan bila aku ternampak dua orang budak perempuan yang sedang berbual mesra dengan dua remaja lelaki yang sedang bertenggek di atas motosikalnya. Nak kena budak-budak ni. Hati yang dah suruh dengan rasa geram tadi kembali terbakar bila melihat gelak ketawa mereka.

“Kak long! Ada bawa apa-apa untuk kami?” Tanya Harun yang sedang leka bermain guli bersama Hamdan di halaman rumah.

“Sorrylah dik, kak long nak cepat tadi takut tertinggal bas.” Terang ku sambil membuka kasut.

“Alah kak long ni teruklah. Tak nak kawanlah.” Rajuk Hamdan dan mimik mukanya sudah bertukar pula.

“Malam ni along belanja. Kita pergi pasar malam ek.” Janji ku. Memang aku sudah berangan-angan untuk mengajak mak dan adik-adik ku untuk membeli barangan dapur. Aku hendak menolong abah setakat yang aku mampu.

“Yahoooo!!...”jerit Hamdan dan Harun gembira. Aku hanya tersenggih suka.

“Pergi mandi. Mak mana?” tanyaku bila melihat kelibat mak tiada didepan mata. Selalunya mak cukup suka duduk dipangkin kayu dihalaman rumah sambil menunggu kepulangan aku atau pun abab.

“Mak ada kat dalam.” Laju Harun menjawab sambil mengutip guli-guli yang berterabur. Hamdan membantu memasukkan kedalam unjang yang sudah berwarna kusam.

“Asalamualaikum mak, Hanim dah balik. Mak! Mak!” aku segera masuk ke dalam rumah dan terus menuju ke dapur mencari mak. Kasut di tangan masih ku jinjing.

“Walaikumsalam, kenapa ni Hanim kelam kabut saja. Kasut tu nak dibawa kemana?” mak yang baru selesai mandi menyapa ku hairan.

”Alamak! Terlupa pula.” Aku segera menyimpan kasut di rak kasut yang telah dibuatkan abah dibelakang pintu.

“Mana angah dan alang mak?” aku segera bertanya walaupun aku tahu dimana mereka.

“Entah! tadi katanya hendak ke kedai, tak balik lagi agaknya” jawab mak sambil berlalu masuk ke dalam bilik untuk memakai baju. Ku perhatikan meja kopi di ruang tamu yang dipenuhi dengan majalah-majalah fesyen. Ini tak lain kerja si alang. Adik aku yang satu ini suka sangat mengumpul majalah tetapi tidak tahu menyimpannya setelah dibaca. Nasib baik majalah itu diperolehi dari simpanan duit belanjanya. Kalau masih hendak meminta dari abah dan mak tahulah aku hendak mengajarnya.

“Kau orang berdua ni dari mana?” sergah ku bila melihat angah dan alang yang baru melangkah ke dalam rumah. Wajah angah berubah pucat bila melihat aku sudah berdiri ditengah rumah. Terkebil-kebill dia memandang ku manakala angah hanya menjeling
tajam.

“Pergi ke kedailah.” alang menjawab endah tak endah. Entah kenapa perhubungan ku dengan adik ku yang seorang ini sering ada masaalah. Nurul Halisa ini sering mengundang kesabaran ku.

“Pergi kedai ke atau melayan jantan?” ku keluarkan rasa terbuku di hati sejak melihat gelagat mereka tadi. Jangan ingat aku mahu mendiam diri atas tingkah mereka yang ku rasa sudah melampau sebagai anak gadis.

“Nurul Hanimmm…apa Hanim cakap tadi” mak keluar bila mendengar bahasa ku yang agak kasar. Dipandang wajah anak-anaknya satu persatu.

“Makkk!, masa Hanim balik tadi. Hanim ternampak angah dan alang ni seronok sangat berbual dengan dua budak lelaki di simpang hujung masuk rumah kita. Hari dah nak senja tapi masih bersidai di jalan sana. Dah tak nampak rumah agaknya. Nasib baik radio karat tak nampak, kalau tidak nama mak dan abah juga yang di jajany. Cukup-cukuplah apa yang dikatanya selama ini.” aku terangkan pada mak agar mak tidak menyalah anggap akan teguran pada adik-adik ku. Bukan niat ku untuk mengadu itu ini tetapi cara mereka tadi memang tidak sedap mata memandang. Apatah lagi kita duduk dalam masyarakat mengenaili sesame sendiri. Lain lah kalau duduk dibandar-bandar besar. Nak buat apa pun orang sekeliling tak endah. Mati keras dalam rumah pun tiada siapa ambil perduli.

“Betul angah! betul alang! Betul apa yang kakak kamu cakapkan ni?” mak memandang angah yang hanya tunduk memandang lantai. Memang begitulah dia, Nurul Hanis seorang gadis yang akan diam membisu kalau dia bersalah tetapi yang lagi seorang ini Nurul Halisa akan membangkang segala apa yang aku cakapkan.

“Alahhh kami jumpa kawan saja. Takkan itu pun tak boleh.” sengaja alang mengundang rasa marah ku.

“Cuba kau ulang sekali lagi, aku sepak mulut kau nanti baru kau tahu tinggi rendahnya langit ni.” aku sudah tidak boleh mengawal kemarahan ku. Dengan sikap kurang ajar alang membuat darah membuak-buak naik. Sebagai anak sulung memang menjadi tugas ku menegur apa yang perlu dan memikul tanggungjawab abah sementara abah tiada di rumah. Lagi pun mereka berdua masih di alam persekolahan lagi. Tidak perlu bersidai dimerata tempat untuk meraih perhatian lelaki.

“Sudahlah Hanim, tak baik bergaduh adik beradik. Lagi pun Hanim penatkan.” lembut mak memujukku. Rasa marah terbang bila mendengar suara mak merayu.

“Hanis dan Halisa pergi masuk mandi. Panggil Harun dan Hamdan sekali. Sediakan tempat, kita mengaji bersama. Hanim tolong mak ajar Harun dan Hamdan.” arahan mak yang tegas membuat budak berdua itu segera mengangkat kaki. Memang sudah menjadi kelaziman mak untuk mengajar kami adik beradik mengaji dan menghafal Al-Quran.

“Macam bagus sangat.” sempat aku menangkap bicara alang yang menyindir ku.

“Hanim! pergi masuk bilik Hanim.” Suara mak mematikan pergerakkan ku yang mahu mengekori alang untuk membuat perhitungan.

“Dan satu lagi tak baik panggil mak long tu radio karat.” aku diam membisu bila di tegur begitu. Itu memang salah ku tetapi memang mulut mak long bagaikan DJ radio yang tidak pernah berhenti untuk menjaja cerita orang lain.